Wednesday, July 23, 2008

WASIAT



Assalamualaikum wr. wb.

Soalan-soalan yang dikirimkan:
1. Apakah makna wasiat di dalam Islam?
2. Jika simati terus mewasiatkan sejumlah harta kepada seseorang (samada keluarga atau bukan), adakah ia masih tergolong di dalam sistem faraidh?
3. Bila adanya wasiat, adaah faraidh tetap digunakan?

Jawapan kepada soalan yang dikirimkan adalah seperti berikut:

1. Wasiat ialah pesanan berhubung dengan sesuatu yang baik yang dibuat oleh seseorang yang yang masih hidup untuk dilaksanakan setelah dia meninggal dunia; seperti En. Yusuf membuat wasiat supaya sebahagian dari hartanya didermakan kepada rumah anak yatim setelah beliau meninggal dunia. Wasiat ini wajib ditunaikan bila tiba masa yang ditetapkan.

2. Harta wasiat tidak termasuk di dalam kaedah faraid, kerana wasiat mesti ditunaikan terlebih dahulu, sebelum dibahagikan satu-satu pusaka. Selepas wasiat dan segala hutang piutang ditunaikan, harta yang lebih itu barulah dibahagi secara faraid.

3. Sekali pun ada wasiat, hukum pusaka tetap wajib dilaksanakan, kerana wasiat tidak boleh diberi kepada waris-waris yang boleh menerima pusaka; contohnya ayah tidak boleh mewasiatkan sebahagian dari hartanya untuk anaknya setelah dia meninggal kelak, kerana anak sudah pun diperuntukan bahagiannya melalui sistem faraid setelah bapanya meninggal. Wasiat boleh dibuat kepada orang yang bukan waris sahaja. Kalau wasiat dibuat kepada waris yang boleh menerima pusaka, maka wasiat itu tidak sah. Wasiat yang dibenarkan oleh syarak, tidak lebih dari satu pertiga sahaja dari jumlah keseluruhan harta yang ditinggalkan oleh si mati.

Sekian, Wallahu A'lam.
Maassalaamah wa ilal liqaq...

drp: tokAbubah di Gb.....

ASABAH


Assalamualaikum wr. wb.

Soalan: Minta penjelasan Ustaz tentang asabah dan pembahagiannya.

Jawaban: Asabah ialah baki harta pusaka setelah diselesaikan bahagian-bahagian yang diperolehi oleh waris-waris yang mendapat bahagian yang ditetapkan di dalam satu-satu pusaka; contohnya seorang mati tinggalkan seorang anak perempuan dan seorang saudara lelaki seibu sebapa. Anak perempuan mendapat separuh dari dari pusaka si mati itu dan saudara lelaki pula mendapat bakinya iaitu separuh yang lebih itu. Yang lebih ini, diberi kepada saudara lelaki kerana dia mendapat asabah dari pusaka tersebut.

Sekian, wallahu a'lam.
Maassalaamah wa ilal liqaq....
drp: tokAbubah di Gb...

Saturday, July 19, 2008

AL KALALAH


ألسلام عليكم

Soalan: Apakah yang di maksudkan dengan al-kalalah? Adakah dia turut mendapat harta pusaka?

Jawaban: Banyak pengertian tentang al kalalah, ia disebut di dalam al Qur'an dan juga hadith. Dalam surah al Nisa' ayat 12; al kalalah memberi maksud 'seorang yang mati, baik lelaki atau perempuan, yang tiada anak dan tiada bapa yang mewarisi pusakanya', tetapi si mati ini ada saudara seibu yang akan menerima pusakanya.

Saudara seibu ini akan menerima satu perenam dari pusaka yang ditinggalkan itu, jika dia berseorangan; dan saudara seibu ini akan menerima satu pertiga jika mereka lebih dari seorang. Pembahagian pusaka untuk saudara seibu ini tidak mengambil kira dari segi jantina. Ertinya antara saudara lelaki dan saudara perempuan ini, harta yang mereka perolehi itu, hendaklah dibahagi sama banyak sesama mereka.

Sekian. Wallahu a'lam.

Maassalamah wa ilal liqaq...
drp : tokAbubah di Gb...

About This Blog

  © Blogger template 'Soft' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP